Kami memulakan acara hari ketiga dengan mengunjungi Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49. Seperti hari sebelumnya, kami disambut dengan mesra oleh guru-guru di sekolah itu. Aktiviti yang pertama ialah pencerapan di dalam bilik darjah. Di dalam kelas itu, kami belajar mengenai tulisan Jawi. Selanjutnya, kami mempelajari beberapa perkataan yang digunakan oleh orang Brunei menerusi lagu tradisional mereka yang bertajuk Malang Pak Saloi. Pelajaran ini merupakan pembelajaran bagi subjek Melayu Islam Beraja (MIB) yang merupakan salah satu subjek teras di Brunei. Kalau di Singapura, MIB ini dikenali sebagai Pendidikan Nasional.
Secara kebetulan, Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 mengadakan perasmian penamaan Blok Sekolah Model Inklusif (MIS). Kami berasa amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menyertai perasamiaan tersebut. Tetamu kehormat bagi acara itu ialah Yang Mulia Pg Hjh Sarah Bte Pg Hj Kamaludin, Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan. Untuk maklumat lanjut, sila lawati lelaman berikut: The Brunei Times, Borneo Bulletin
Sesudah itu, kami semua beredar ke dewan untuk makan tengah hari dan menyaksikan persembahan budaya daripada para pelajar sekolah itu. Kami juga membuat dua persembahan untuk mereka. Kemudian, kami mengadakan acara perpisahan di mana murid-murid menyampaikan hadiah kepada pasangan masing-masing.
Selanjutnya, kami melawat Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Alat Kebesaran Diraja. Muzium Teknologi Melayu mempamerkan gaya hidup penduduk Brunei pada masa silam dengan mempamerkan rumah dan bangunan tradisional serta aspek kehidupan pelbagai kaum Melayu. Di Muzium Alat Kebesaran Diraja, terdapat pelbagai pameran yang menarik. Antaranya ialah dokumen yang menunjukkan takhta Sultan, gambar-gambar acara formal di Istana Nurul Iman, baju-baju yang dipakai oleh Sultan yang kebanyakannya dijahit dengan benang sutera dan emas serta hadiah-hadiah yang diberikan kepada Sultan oleh delegasi daripada berbagai negara. Kami amat terpegun melihat semua pameran di situ. Pada pukul 4 petang, kami berangkat ke Lapangan Terbang Brunei.
Berikut ialah gambar-gambar hari terakhir kami di Brunei.
Murid-murid sedang belajar menulis Jawi. Kelas ini dikendalikan oleh seorang ustaz di Sekolah Rendah Lambak Kanan.
Murid-murid diperkenalkan kepada beberapa perkataan dialek Brunei dalam kelas Melayu Islam Beraja (MIB).
Siti Nur Natasha memberikan ucapan selamat tinggal kepada guru-guru dan murid-murid Sekolah Rendah Lambak Kanan.
Murid-murid menerima cenderahati daripada Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Pg Hajjah Sarah.
Cikgu Siti Zulaikha memberi cenderahati kepada Guru Besar, Puan Hajjah Norliah.
Cenderahati yang diberikan kepada kami.
Murid-murid memberikan persembahan yang sungguh hebat.
Murid-murid mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan mereka.
Ucapan selamat jalan.
Di Muzium Teknologi Melayu.
Di Muzium Kebesaran Diraja.
.jpg)
Guru-guru dan murid-murid Sekolah Rendah Lambak Kanan mengucapkan selamat jalan kepada kami di Lapangan Terbang Brunei.
Sekian sahaja lawatan kami selama tiga hari dan dua malam di negara Brunei Darussalam. Kami amat bersyukur dapat diberikan peluang ini. Kami juga berterima kasih kepada para ibu bapa yang telah memberikan kepercayaan mereka kepada guru-guru yang mengikuti lawatan ini.