Negara Brunei Darussalam (Jawi: دارالسلام بروني نڬارا) ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan terletak di sebelah utara pulau Borneo. Brunei dikelilingi Malaysia dengan dua bahagian Brunei dipisahkan di daratan oleh Malaysia. Nama Borneo diambil berdasarkan nama negara ini. Ini adalah disebabkan pada zaman dahulu, Brunei mempunyai pengaruh dan kuasa yang kuat di pulau Borneo.
Brunei dikelilingi oleh negara Malaysia di bahagian selatan, barat dan timurnya serta Laut China Selatan di utara dan Teluk Brunei di bahagian timur laut. Brunei terdiri daripada dua bahagian yang dipisahkan oleh negeri Sarawak, Malaysia dengan keluasan 5765 kilometer persegi (2226 batu persegi). Bahagian barat negara Brunei terdiri daripada Belait, Tutong dan Brunei Muara serta Temburong di bahagian timur. Iklim Brunei ialah jenis khatulistiwa iaitu iklim yang mempunyai suhu dan kelembapan yang tinggi serta taburan sinaran matahari dan hujan lebat pada sepanjang tahun.
Jumlah penduduk Brunei adalah seramai 395 027 di mana 75% penduduk tinggal di kawasan bandar dan 97% daripada jumlah penduduknya tinggal di bahagian barat yang lebih besar dengan hanya kira-kira 10,000 (3%) orang tinggal di daerah Temburong iaitu di bahagian timur. Daripada bilangan ini, lebih kurang 46,000 orang tinggal di ibu negara Bandar Seri Begawan.
No comments:
Post a Comment